Salam Ramadhan Al-Mubarak 1432H 2011 buat semua umat Islam di seluruh dunia. Dan juga salam pengenalan untuk semua kaki pancing di serata nusantara. Harini Lubuk Pengail ingin memulakan mukadimah dalam siri menjelajahi lubuk-lubuk yang berpotensi untuk mendapatkan habuan bersaiz mega. Mega di sini bukanlah bermaksud spesis yang terlalu besar seperti yang biasa dipancing oleh Jeremy Wade dalam rancangan popular beliau. Tetapi ia lebih kepada saiz yang boleh dikira sebagai kategori memuaskan hati si pemancing itu sendiri.
Dalam siri penulisan yang pertama ini, saya dan rakan-rakan sehobi saya akan membawa anda ke alam pemancingan yang sangat tidak digemari oleh kebanyakkan isteri (bagi mereka yang telah berkahwin) dan juga mereka yang baharu sahaja mengintai alam percintaan. Kami juga akan menyelami mengapa hobi ini boleh menyebabkan seseorang itu seolah-olah angau jika tidak dapat memegang kayu panjang tersebut.
Bab pertama: Menguji Lubuk Haruan.
Tepat jam 3 petang kami berenam bergerak ke Kampung Lombong di Puchong, atau lebih tepat lagi Kampung Jaya Sepakat di kawasan tadbir daerah Hulu Langat untuk memburu spesis haruan atau dikenali sebagai spesis
'Snake Head' di kalangan kaki pancing. Membawa bersama peralatan kami yang agak sederhana. Dengan umpan katak yang memang menjadi kegemaran spesis tersebut, kami bergerak menggunakan motosikal sahaja. Disebabkan jalan yang akan dilalui agak mencabar dan sememangnya motosikal adalah kenderaan paling sesuai untuk meredah ke lubuk-lubuk yang agak sempit dan berliku.Perjalanan kami mengambil masa lebih kurang 20 minit.
Lebih kurang pukul 3.30 petang kami memulakan operasi menakluk lubuk. Umpan pertama dilontar dan ditarik (teknik
'casting' memang teknik terbaik untuk mengumpan haruan keluar dari tempat persembunyiannya). Beberapa kali kami melontar dan menarik namun tiada riak yang menunjukkan haruan berminat untuk menyambar umpan tersebut. Selepas menghabiskan masa lebih kurang sejam, kami mengambil keputusan untuk bergerak ke dalam lagi.
Kawasan memancing yang kami jelajahi mempunyai beberapa
'port' yang agak sesuai untuk aktiviti
'casting'. Luas dan agak terbuka namun suhu panas kadang-kadang menganggu konsterasi pemancing yang agak baru. Disebabkan muka bumi yang berpasir maka suhu di kawasan ini cepat mencapai kepanasan di tahap yang agak maksima. Namun bagi pemancing tegar, ini adalah asam garam bagi mendapatkan habuan yang agak baik. Selepas beberapa kali bertukar
'port' dan umpan kami hanya dipandang sepi oleh penghuni lombong tersebut, kami mengambil keputusan untuk kembali ke Kampung Jalan Kebun.
Daftar kata:
Port =
Kawasan atau
Lubuk. Ayat lazim yang digunakan oleh pemancing.
Bab Kedua: Rezeki Sebelum Mahgrib
Selepas mengaharungi perjalanan yang agak mencabar, kami tiba di Kampung Jalan Kebun lebih kurang pukul 5.45 petang. Tanpa membuang masa. umpan pun dilontar di kawasan parit yang baru sahaja dibersihkan oleh kontraktor bertanggungjawab.
Tidak sampai 20 minit, umpan pertama disambar dengan ganas. Rentapan yang agak mendebarkan bagi setiap pemancing. Joran terus meliuk menandakan ikan yang menyambar agak besar. Selepas berhempas pulas lebih kurang 3 minit, mangsa yang pertama berjaya dinaikkan oleh A'an. Haruan besar tergoda dengan umpan yang dilontar oleh beliau. Semangat yang tadinya agak luntur terubat sedikit.
A'an sedang mengawal joran supaya mangsa tidak dapat melarikan diri.
Usaha untuk menawan lebih banyak lagi penghuni parit semakin kuat. Baru sahaja umpan kedua dilontar, sekali lagi ia diregut dengan ganas. Mungkin hari itu rezeki si A'an, penghuni parit tersebut meminati umpan dari beliau. Lebih kurang 2 minit, haruan kedua dinaikkan.Saiznya yang agak besar membuatkan kami berfikir, mungkin ada lagi penghuni di sini yang bersaiz mega.
Keadaan parit yang agak bersih memudahkan tugas menawan penghuni di dalamnya.
Waktu menunjukkan tepat pukul 6.45 petang. Selepas dua haruan yang agak besar berjaya dinaikkan tiba waktu untuk pulang. Kerana umpan terakhir masih ada, A'an mencuba untuk melakukan balingan terakhir. Tidak sampai seminit, umpan tersebut ditarik ganas. Beberapa ekor ikan sepat kelihatan melarikan diri kerana terkejut.
Penulis bersama ikan haruan terakhir bersaiz besar.
Riak air kelihatan memercik disetiap sudut. A'an cuba mengawal situasi, kelihatan kepala haruan yang besar menjengah di muka air. Masing-masing menyorak supaya habuan terakhir ini berjaya dinaikkan. Akhirnya selepas beberapa minit, haruan paling besar berjaya dinaikkan. Wajah kepuasan terpancar di wajah kami. Walaupun cuma A'an yang berjaya pada petang itu, namun itu bukan alasan untuk tidak gembira. Beberapa ekor ikan haruan yang agak kecil, kami lepaskan supaya boleh mencapai tahap yang agak sesuai untuk dipancing.
Haruan atau nama saintifiknya Channa Striatus.
Lihatlah saiz haruan tersebut. Walaupun kami tahu ada lagi saiz yang lebih besar dari ini
kami tetap berpuashati.
Kami bangga mengamalkan 'Catch & Released' ataupun dalam bahasa melayunya Tangkap dan Lepas. Ini bagi memastikan generasi akan datang tahu tentang spesis yang pernah mendiami parit atau lombong di sekitar kawasan kita tinggal. Bukan hanya melihat spesis-spesis ini di muzium atau internet sahaja.
Adik kita ini dalam lingkungan umur 6 tahun, tetapi kesabarannya ketika memancing sangat menarik perhatian kami.
Mungkinkah ada lagi spesis ikan haruan bersaiz sebesar paha lelaki dewasa disekitar kawasan ini.
Sessi melegakan urat saraf sambil menikmati udara petang.
Kami pulang sekitar pukul 7.10 minit malam, ketika senja mula melabuhkan tirainya. Dan kami tidak akan berhenti setakat ini sahaja. Banyak lagi kawasan lubuk yang akan kami jejaki. Tidak kira lubuk ikan air tawar atau air masin, InsyaAllah. Dan sekiranya anda ada 'port' yang baik untuk diterokai, jangan lupa untuk bersama-sama kami untuk berkongsi pengalaman anda.